AFP

Manchester, England: Jose Mourinho mengakui beliau mengetepikan Memphis Depay (gambar) daripada perancangannya kerana keinginan pemain sayap Belanda itu meninggalkan Manchester United ketika jendela perpindahan pemain bulan ini.

Pemain berusia 22 tahun itu, yang dibeli dengan harga £25 juta (RM138 juta) dari PSV Eindhoven oleh Louis van Gaal 18 bulan lalu, muncul antara pemain yang rugi besar dengan kehadiran Mourinho di Old Trafford hujung musim lalu.

Pengurus United itu menjelaskan keputusannya menyingkirkan pemain itu dari pasukan utama memandangkan hasrat Depay untuk meninggalkan Manchester bulan ini.

“Saya perlu katakan dalam beberapa bulan terakhir keputusan saya mengenai Memphis dipengaruhi perasaan dan maklumat dia mahu meninggalkan pasukan ini pada Januari dan jika kami mendapat tawaran baik kami sedia menerimanya,” ujar Mourinho.

“Ia jelas mempengaruhi keputusan saya. Jika saya tahu seseorang pemain mahu meninggalkan pasukan, lebih baik saya beri peluang kepada (Jesse) Lingard, (Henrikh) Mkhitaryan, (Anthony) Martial, pemain yang saya tahu 100 peratus akan kekal bersama kami.

“Ia satu posisi yang mana kami mempunyai banyak pilihan.”

Depay kurang memberi sumbangan kepada United musim ini dan hanya beraksi 119 minit dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia buat Belanda.

Bagi United, Depay hanya bermula satu perlawanan, penampilan selama 55 minit pada Piala Liga menentang Northampton dan hanya beraksi 20 minit dalam empat perlawanan Liga Perdana.

Secara keseluruhan, Depay hanya bermain lapan perlawanan dalam semua pertandingan di bawah Mourinho, mengumpul hanya dua jam 124 minit aksi bola sepak. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 4:45 AM