Keadaan motosikal ditunggang mangsa dan suasana di Jabatan Forensik HTAR. FOTO ihsan PDRM dan Faiz Anuar
Keadaan motosikal ditunggang mangsa dan suasana di Jabatan Forensik HTAR. FOTO ihsan PDRM dan Faiz Anuar
Iskandar Shah Mohamed


Pelabuhan Klang: Pasangan tunang maut manakala anak wanita itu cedera selepas motosikal yang ditunggang dirempuh kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 4.40 pagi, mangsa, Arifshah Lingam Muniandy, 39, yang juga pemandu lori dan Nor Aishah Abdullah, 35, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala manakala Muhammad Aril Amri Mohd Adam, 3, hanya luka di badannya

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa yang menaiki Honda Wave datang dari arah Pandamaran menghala ke Shah Alam.

"Setibanya di lokasi kejadian berdekatan sebuah stesen minyak, motosikal itu dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta yang belum dikenalpasti.

"Perlanggaran itu menyebabkan penunggang (Arifshah) dan wanita itu mengalami kecederaan teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Anak wanita itu bagaimanapun hanya luka dan calar di bahagian badan dan dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang," katanya.

Menurutnya, polis sedang mengesan pemandu kereta melarikan diri dalam kemalangan itu.

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Kata Alzafny, orang ramai diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sutri Patang di talian 018-9427088 untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 3:23 PM