Reuters

Aleppo: Rancangan untuk memindahkan penduduk di daerah Aleppo yang dikuasai kumpulan penentang tertangguh semalam akibat serangan udara dan artileri yang bertali arus.

Iran yang juga penyokong kuat Presiden Syria, Bashar al-Assad mahu pemindahan serentak penduduk yang cedera di kampung Foua dan Kefraya yang dikepung kumpulan penentang.

Kumpulan penentang berkata, permintaan Iran itu hanya alasan untuk menangguhkan pemindahan dengan sebuah stesen televisyen melaporkan, ia mungkin ditangguhkan hingga hari ini.

Gencatan senjata yang diumumkan Russia dan Turki kelmarin bertujuan menamatkan pertempuran selama bertahun-tahun di Aleppo.

Kejayaan di Aleppo itu juga dianggap antara kemenangan terbesar Bashar dalam perang selama lima tahun di Syria.

Serangan artileri dan pertempuran tercetus semula papagi semalam, dan kumpulan pemerhati berkata, gencatan senjata itu kelihatan sudah terkubur.

Stesen televisyen Syria melaporkan, kumpulan penentang melancarkan serangan artileri ke daerah Bustan al-Qasr, yang baru-baru ini ditawan semula tentera, menyebabkan enam orang maut.

Russia berkata, tentera kerajaan membalas serangan kumpulan penentang berkenaan.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata, tentangan daripada kumpulan penentang itu dijangka berakhir dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

Sementara itu, pegawai tentera bersekutu yang menyokong Bashar tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen mengenai alasan pemindahan yang dijadualkan bermula awal pagi semalam ditangguhkan.

Menurut saksi di lokasi pemindahan, tiada siapa yang meninggalkan kawasan yang dikepung itu menjelang Subuh.

Sebanyak 20 bas menunggu dengan enjin dihidupkan tetapi tiada tanda kenderaan itu akan bergerak ke kawasan lain yang dikuasai penentang.

Pemindahan itu adalah kemuncak serangan selama dua hari yang menyaksikan tentera kerajaan mara ke Aleppo dan kumpulan penentang berundur serta berpecah akibat serangan udara dan artileri bertali arus.

Dengan menguasai Aleppo sepenuhnya, Bashar membuktikan kekuatan perikatan tenteranya yang dibantu tentera udara Russia dan pejuang dari dari beberapa kumpulan Syiah di rantau itu.

Kumpulan penentang mendapat sokongan Amerika Syarikat, Turki dan negara Teluk tetapi sokongan itu tidak mencukupi bagi menghadapi bantuan secara langsung yang diterima Bashar daripada Russia dan Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 8:47 AM