KEADAAN bas yang terbabas tengah malam tadi. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN bas yang terbabas tengah malam tadi. FOTO ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail


Tanah Merah: Seramai 16 penumpang berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki terbabas sebelum merempuh penghadang jalan di hadapan sebuah rumah di Kampung Jedok, di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, empat penumpang cedera di muka, kaki dan patah gigi sebelum dikejarkan ke Klinik Batu Gajah dan dirujuk ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk rawatan lanjut.

Pemandu bas berusia 60 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, ketika kejadian bas itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Perlis.

"Bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian bas berkenaan terbabas sebelum masuk ke jalan bertentangan dan melanggar penghadang jalan di hadapan sebuah rumah.

"Kemalangan menyebabkan empat penumpang cedera ringan dan dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum seorang penumpang dirujuk ke HTM untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 11:34 AM