Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir Kelantan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 22,937 orang berbanding 22,225 pada tengah malam tadi.

Ia membabitkan 7,156 keluarga di sembilan jajahan yang ditempatkan di 113 PPS.

Jajahan Gua Musang dan Kuala Krai yang ketika ini terjejas teruk masing-masing membuka 11 dan 39 PPS untuk menempatkan keseluruhan 8,589 mangsa banjir daripada 2,436 keluarga.

Bagaimanapun Pasir Mas masih menjadi jajahan paling ramai mangsa iaitu 8,754 orang dengan 31 PPS.

Tiga sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (10.27m), Sungai Kelantan di Tambatan Diraja (5.87m), Sungai Lebir di Tualang (37.03m) dan Sungai Galas di Dabong (45.39m).

Sehingga kini, sebanyak 22 laluan utama terpaksa ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 8:54 AM