PEMAIN Atletico giat berlatih menjelang pertemuan menentang Real Madrid.
PEMAIN Atletico giat berlatih menjelang pertemuan menentang Real Madrid.
AFP

Madrid: Atletico Madrid melayan kunjungan Real Madrid buat kali pertama dalam kempen La Liga di Vicente Calderon awal pagi esok dengan luka akibat tewas pada final Liga Juara-Juara tiga tahun lalu masih lagi berbekas buat Atletico.

Begitupun, pertemuan kali ini boleh dianggap serba tidak kena buat kedua-dua pasukan apabila masing-masing berdepan masalah kecederaan dengan penjaring terbanyak Atletico Antoine Griezmann serta kapten Real Sergio Ramos dilanda kecederaan.

Real menjulang Piala Eropah buat kali ke-11 menerusi penentuan penalti ketika kedua-dua pasukan bertemu buat kali terakhir, Mei lalu dan Atletico mempunyai lebih banyak sebab untuk menang apatah lagi skuad kendalian Diego Simeone (gambar kecil) itu ketinggalan enam mata di belakang Real yang menduduki tangga teratas La Liga.

“Luka di hati kami masih berbekas dan tidak mungkin dapat kami lupakan,” kata kapten Atletico Gabi.

“Kenangan pahit memang banyak dan selain itu, ia menjadi semakin sukar untuk dilupakan apabila keputusan menentang Real sangat bermakna buat penyokong Atletico.”

Atletico dijangka berpindah ke stadium baharu, La Peineta musim depan selepas 50 tahun beraksi di Calderon.

Dan dua kekalahan sepanjang tiga pertemuan membuatkan Gabi percaya hanya kemenangan yang mampu melegakan mereka ketika ini.

“Ini adalah aksi terakhir menentang Real di Calderon dan ia menjadikan perlawanan ini lebih menarik serta istimewa,” katanya.

“Jika kami menang, sudah tentu kami akan meletakkan peluang kami di landasan tepat.”

Griezmann kembali daripada tugasan antarabangsa dengan beberapa kesan lebam di kaki kiri tetapi tetap turun menjalani latihan.

Real pula lebih tertekan dengan kecederaan yang melanda Toni Kroos, Casemiro serta Alvaro Morata yang sudah pasti tidak dapat diturunkan.

Ramos tidak bermain sejak mengalami kecederaan buku lali sebulan lalu tetapi menyasarkan untuk turun bermain sambil gandingannya Pepe masih belum cergas.

Begitupun, Madrid mempunyai Luka Modric yang disifatkan Gabi sebagai pemain terbaik Real.

Atletico tidak pernah tewas dalam aksi menentang Real sejak tiga musim lalu dan rekod itu pasti mahu terus dipertahankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:07 AM