Syamel harap peminat sokong single kedua yang baru dilancarkan.FOTO HM
Syamel harap peminat sokong single kedua yang baru dilancarkan.FOTO HM
Michelle Gun


Kuala Lumpur: Penyanyi Syamel menafikan dakwaan pihak tertentu dia dijadikan ‘kambing hitam’ dalam isu menciplak lagu finalis Kilauan Emas 3, Idris iaitu Ku Kejar Bayang Mu ciptaan Ayai Illusi.

Syamel ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana tidak mahu isu itu dipanjangkan.

“Saya tak mahu ia berpanjangan kerana mahu meredakan keadaan,” katanya.

Disebabkan itu, Syamel yang juga penyanyi dan pencipta lagi Hidup Dalam Mati membuat keputusan menarik diri dari saingan separuh akhir Muzik Muzik 31, Jumaat lalu.

Syamel menganggap single sulungnya itu tiada rezeki di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-31.

“Saya meminta maaf kepada semua pihak yang meletakkan harapan tinggi terhadap lagu Hidup Dalam Mati. Saya menganggap lagu ini tiada rezeki ke final," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, bekas peserta Akademi Fantasia 2015 ini berharap peminat terus memberi sokongan dengan menerima single kedua, Lebih Sempurna yang dilancarkan, baru-baru ini.

"Lagu ini dicipta bersama Edry Halim dan seorang rakan manakala lirik diilhamkan sepenuhnya oleh saya sendiri," katanya.

Kata penyanyi berusia 23 tahun itu, isu dakwaan dia menciplak karya Ayai juga tidak menjejaskan sambutan terhadap Lebih Sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 6:05 PM