Raja Ahmad Zainuddin menunjukkan laporan polis yang dibuat. (Gambar kecil) Akaun Twitter palsu menggunakan namanya. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian dan Nabilah Hamudin
Raja Ahmad Zainuddin menunjukkan laporan polis yang dibuat. (Gambar kecil) Akaun Twitter palsu menggunakan namanya. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian dan Nabilah Hamudin
Muhammad Zulsyamini Sufian


Ipoh: Bekas Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar membuat laporan polis berhubung kewujudan akaun Twitter palsu menggunakan namanya.

Raja Ahmad Zainuddin berkata, kewujudan akaun itu dilihat boleh menjejaskan nama baiknya kerana status dimuat naik cuba melaga-lagakan dia dengan pimpinan kerajaan.

Katanya, status mengenai isu kenaikan harga minyak masak baru-baru ini jelas menunjukkan gambaran tidak baik terhadap Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Saya tidak tahu apa motif pemilik akaun ini kerana saya tidak lagi aktif dalam politik dan apa saya lihat, pemilik akaun ini hanya ingin melaga-lagakan saya dengan pemimpin berkenaan yang juga Ahli Parlimen Larut sekarang.

"Saya ada akaun Twitter namun jarang gunakan dan nama dalam Twitter saya ialah nama penuh termasuk gelaran 'Datuk Seri'," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam, hari ini.

Raja Ahmad Zainuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak berharap tindakan segera polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap kewujudan akaun berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 3:31 PM