Tikrit: Pengebom berani mati yang memandu ambulans yang sarat dengan bahan letupan meletupkan kenderaan itu di satu sekatan jalan raya dan sebuah tempat letak kereta untuk jemaah Syiah di dua bandar raya di Iraq semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.

Serangan berkembar itu berlaku di Tikrit dan Samar- ra ketika tentera Iraq berusaha menawan semula Mosul, bandar di utara negara itu daripada militan Daish.

Serangan berkenaan dipercayai sebahagian daripada usaha Daish untuk mengalih tumpuan pasukan keselamatan Iraq.

Agensi berita Damaq yang dikuasai Daish, berkata, serangan berkenaan dilakukan kumpulan berkenaan.

Di Tikrit, seorang penyerang meletupkan ambulans yang dipandunya di pintu masuk bahagian selatan bandar berkenaan ketika waktu puncak, menyebabkan 15 orang mati, kata sumber polis dan hospital.

Seorang lagi penyerang meletupkan kenderaannya di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk pengunjung Masjid al-Askari, antara makam paling suci penganut Syiah.

Sepuluh orang terbunuh dalam kejadian berkenaan.

Polis berkata, kenderaan yang digunakan dalam serangan itu juga sebuah ambulans.

Sehubungan itu, pihak berkuasa di kedua-dua bandar berkenaan mengisytiharkan perintah berkurung kerana bimbang kemungkinan ada lagi serangan.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 11:19 AM