Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pasukan kebangsaan berpuas hati menduduki tempat ketiga pada kejohanan hoki Trofi Juara-Juara Asia selepas menewaskan Korea Selatan 3-1 menerusi penentuan penalti di Stadium Hoki Indera Mahkota, di sini, semalam.

Peluang skuad Stephen Van Huizen mendahului lawan menjelma seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti namun ia tidak dapat diterjemahkan.

Usaha skuad kebangsaan menjinakkan lawan berhasil pada minit ke-14 menerusi gol Shahrul Saabah yang bijak memperdayakan penjaga gol Korea, Pya Hong Dop.

Ketika pemain kebangsaan ghairah menambah jaringan mereka dihukum dengan kelonggaran benteng pertahanan hingga membuka peluang ketua pasukan lawan, Jung Man Jae menyamakan kedudukan pada minit ke-18.

Kerancakan aksi kedua-dua pasukan sedikit terjejas apabila hujan pada pertengahan babak pertama yang menyaksikan kedudukan terikat 1-1 hingga tamat permainan separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua Malaysia dilihat lebih banyak mencipta peluang namun gagal dimanfaatkan pemain hingga perlawanan sebenar berkesudahan kedua-dua pasukan terikat.

Episod seri 1-1 berdepan lawan sama pada saingan peringkat awal kejohanan sekali lagi berulang pada penentuan tempat ketiga dan keempat ini.

Pasukan kebangsaan seharusnya berterima kasih kepada penjaga gol, S Kumar kerana pengalaman luasnya berjaya menyekat dua percubaan pemain Korea pada penentuan penalti selepas keputusan terikat 1-1.

Dalam penentuan penuh debaran itu, skuad kebangsaan menewaskan lawan 3-1 menerusi pukulan penalti oleh Firhan Ashari, Faizal Saari dan Nabil Noor manakala gol Korea dijaringkan Kang Moon Kyu.

Sementara itu, dalam aksi final India menepati ramalan muncul juara apabila menewaskan Pakistan 3-2.

Gol skuad bimbingan Roelant Oltmans itu disumbangkan Rupinder Pal Singh (m-18), Yousuf Affan (m-23) dan Chandanda Thimmaiah (m-51).

Pakistan pula memperoleh gol hasil jaringan Aleem Muhammad Butterworth (m-26) dan Ali Shan (m-38).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 11:48 AM