ANGGOTA APM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Lumantak. IHSAN APM
ANGGOTA APM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Lumantak. IHSAN APM
Ardyhansah Amat


Membakut: Enam kampung dan kawasan pekan dinaiki air sehingga kira-kira satu meter, di sini, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Muliadi Al-Hamdi Ladin, berkata pihaknya menerima maklumat banjir sejak semalam.

Menurutnya, beberapa kawasan mula digenangi air selepas Sungai Membakit yang melimpah keluar.

"Semalam terkawal. Tapi, kerja pemindahan mangsa hanya dilakukan pada 11.30 pagi, selepas paras air semakin naik," katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort Mohd Said Othman, berkata 14 individu terdiri daripada satu keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Pejabat Daerah Kecil Membakut.

"Sehingga 1.30 petang hari ini, lima lelaki, empat wanita dan lima kanak-kanak membabitkan dua keluarga dipindahkan selepas rumah mereka di Kampung Lumantak dan Baru, dinaiki air.

"Bagaimanapun, jumlah itu mungkin bertambah berikutan paras air dijangka terus meningkat di beberapa kawasan lagi," katanya.

Katanya, selain dua kampung berkenaan, banjir turut dilaporkan berlaku di Kampung Bambangan, Sinoko, Baitan, Sinduk dan kawasan pekan Membakut.

"Hujan lebat yang berlaku sejak dua hari lalu di Banjaran Crocker menyebabkan banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2016 @ 2:23 PM