Denpasar (Indonesia): Sebuah mahkamah di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun terhadap seorang lelaki warga Australia kerana mencabul 11 gadis bawah umur.

Robert Andrew Fiddes Ellis, 70, didapati bersalah mencabul 11 kanak-kanak perempuan berusia tujuh hingga 17 tahun dalam tempoh dua tahun sebelum dia ditangkap awal tahun ini.

Hukuman yang dijatuhkan terhadap Ellis di Mahkamah Daerah Denpasar itu adalah yang paling berat dalam sejarah untuk kes seperti itu di Bali.

Ellis yang tinggal di Bali meminta kebenaran kepada mahkamah untuk berdoa sebelum hakim menjatuhkan hukuman.

Bagaimanapun, doa Ellis supaya dikenakan hukuman yang ringan tidak makbul.

“Tertuduh terbukti mencabul kanak-kanak yang memberi kesan besar terhadap perkembangan psikologi mangsa.

“Tindakan tertuduh memusnahkan masa depan kanak-kanak ini dan merosakkan imej Bali,” kata ketua panel hakim, Wayan Sukanila.

Mahkamah kemudian mengarahkan Ellis dihukum penjara 15 tahun dan didenda Rp2 bilion (RM640,000).

Peguam Ellis, Yanuar Nahak berkata, anak guamnya akan merayu keputusan itu.

“Kami akan merayu kerana percaya hakim tidak objektif dalam membuat keputusan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 10:34 AM