Mohd Fadly Samsudin dan Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seratus empat puluh warga asing ditahan dalam Op Nyah 2, Fasa 13, dijalankan di beberapa lokasi di ibu negara.

Kawasan digempur dipercayai menjadi penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan lokasi mereka berniaga termasuk di Bukit Bintang, Kepong dan Bangsar.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 425 individu dalam operasi 13 jam berakhir pada 6.30 hari ini.

"Daripada 140 tangkapan, 137 lelaki manakala tujuh wanita.

"Paling ramai warga Bangladesh iaitu 74 orang, diikuti warga Myanmar (23), Nepal (20), Pakistan (10), Vietnam (6), Indonesia (5) dan masing-masing seorang warga India dan Uganda," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua mereka ditahan di Lokap Berpusat Jinjang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen (PPI) 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 12:00 PM