Pemberian BR1M antara cara menggalakkan perbelanjaan dalam kalangan rakyat. - Foto Fail
Pemberian BR1M antara cara menggalakkan perbelanjaan dalam kalangan rakyat. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bajet 2017 dijangka memberi tumpuan kepada usaha merangsang kuasa beli rakyat dan pelaburan swasta.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, lebih banyak insentif diperlukan berikutan persekitaran ekonomi luaran yang lembap.

"Ia dijangka menangani pelbagai masalah rakyat ketika kerajaan berusaha mengimbangi kedudukan kewangannya," katanya pada taklimat ekonomi MIER di sini, hari ini.

Zakariah berkata, kerajaan dijangka tidak memotong cukai barang dan perkhidmatan kerana pendapatannya dikekang harga minyak mentah yang rendah.

Beliau berkata, pelepasan cukai perlu diberikan untuk meningkatkan pendapatan boleh belanja.

"Hutang isi rumah yang tinggi, iaitu kira-kira 90 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, bukan mudah untuk dibendung. Penyelesaiannya ialah dengan meningkatkan pendapatan boleh dibelanja," katanya.

Bagi tujuan ini, kata Zakariah, pengagihan wang tunai kepada golongan berpendapatan rendah boleh membantu mengurangkan kebimbangan kenaikan kos sara hidup walaupun ia langkah jangka pendek.

"Bagaimanapun cara lebih berkesan dalam jangka lebih panjang ialah menyediakan insentif kepada golongan berpendapatan rendah agar mereka boleh menyumbang kepada ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 7:37 PM