CELESTIAL Beauty hasil karya Sharon.
CELESTIAL Beauty hasil karya Sharon.
SIESTA Time oleh Barbara.
SIESTA Time oleh Barbara.
FOR One More Day oleh Sharon.
FOR One More Day oleh Sharon.
Oleh Zuhainy Zulkiffli

Lukisan yang dipamerkan di The Art E Space, Straits Quay, Pulau Pinang bukan saja dinilai melalui kekemasannya tetapi mempunyai maksud tersendiri.

Sebanyak 37 lukisan dipamerkan dengan konsep Seni Halus Pensil Warna hasil karya artis tempatan, Sharon SS Kow bergabung tenaga dengan Barbara Moore dari Kanada.

Sharon berkata, semua lukisan menggunakan 100 peratus medium pensel warna dengan pelbagai cerita di sebalik karya masing-masing.

"Lukisan yang dihasilkan adalah berlatarkan peristiwa pengalaman setiap hari serta kisah pemergian bapa saya, Francis Kow akibat sakit jantung pada tahun lalu.

"Lukisan bertajuk To Have and To Hold memaparkan genggaman erat tangan ibu dan mendiang bapa ketika dia bertarung nyawa melawan penyakitnya itu.

"Manakala, lukisan bertajuk For One More Day pula memaparkan jam antik milik bapa yang juga simbolik kepada harapan saya untuk menemaninya jika diberi peluang walau sehari," katanya yang sudah menetap di Pulau Pinang selama 10 tahun.

Penggunaan medium pensel warna sering dipandang sepi bagi sesetengah masyarakat kerana beranggapan hasil karya terbabit tidak mampu bersaing dengan karya yang menggunakan medium lain.

Namun, pertaruhan berani Sharon dan Barbara menunjukkan suatu cabang seni itu adalah tidak terhad dan bukan dikuasai oleh satu medium semata-mata.

Keindahan seni mampu diungkapkan dalam pelbagai cara, melalui pelbagai frasa dan hasil sentuhan pelukis itu sendiri tetapi pandangan pada sebuah karya tidak terikat pada pelukis malah dipelbagaikan mengikut pandangan umum.

Bagi Barbara, karyanya menceritakan pengembaraannya mengelilingi dunia bersama suami dengan menaiki kapal layar selama 14 tahun.

"Kami ingin mencetuskan suatu perasaan bahawa lukisan boleh berinteraksi dan bercerita mengenai peristiwa menarik yang kami lalui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:03 AM