BAPA terpaksa tolak banyak undangan ceramah kerana kekangan masa.
BAPA terpaksa tolak banyak undangan ceramah kerana kekangan masa.
Helmy Abd Rahman


Kuala Nerus: Sejak muncul di pentas bersama penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dan mendapat liputan akhbar ini, populariti ‘Ustak Mat Ipang’ semakin meningkat apabila kerap dipanggil untuk menyampaikan ‘ceramah’.

Malah, Muhammad Irfan Yusmanizam, 6, semakin yakin dan selesa bercakap di depan orang ramai, tidak seperti kemunculan sulungnya di pentas hampir tiga minggu lalu.

Terbaru, kanak-kanak berkenaan menjadi undangan khas untuk menyampaikan ceramah di depan Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, Halina Zakaria pada Majlis Perasmian Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika dan Karnival Kemas Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2016 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail Kampung Telaga Batin, di sini, kelmarin.

“Ni ustak nak pesan, jangan derhaka kat mak, tak baik, nanti masuk neraka jahanam. Sekarang ni banyak sungguh kita lihat anak derhaka kat mak... anak mende (apa) gitu (begitu).

“Yang emak pula, jangan tohok (buang) anak, tak baik. Banyak sangat dengar berita mak tohok anak... mak mende itu,” antara petikan ceramah disampaikan Muhammad Irfan, sekali gus menggamatkan suasana dan menghiburkan 1,000 hadirin yang datang ke majlis itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2016 @ 8:14 AM