PELAJAR  ponteng sekolah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk tindakan lanjut. FOTO Farah Suhaidah Othman
PELAJAR ponteng sekolah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk tindakan lanjut. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


Kampar : Sembilan belas pelajar dikesan berseronok dan bermain permainan video dalam Operasi Ponteng Sekolah yang dijalankan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Selatan serta beberapa pihak berkuasa di sekitar daerah ini, hari ini.

Dalam operasi yang bermula 11 pagi itu, 19 pelajar berusia antara 13 hingga 16 tahun dikenal pasti sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk dimaklumkan kepada ibu bapa masing-masing.

Operasi diketuai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Selatan dan turut disertai beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Daerah Kampar.

Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Selatan, Mat Jaafar Mat Zain berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, kafe siber menjadi tumpuan pelajar sekolah di daerah Kampar menghabiskan masa untuk bermain permainan video.

Katanya, operasi berkenaan bertumpu di kawasan Bandar Baru, Malim Nawar dan Gopeng.

"Hasil operasi ini, kita berjaya mengenal pasti lima pelajar berada di kafe siber di Bandar Baru, manakala tujuh di Malim Nawar dan tujuh lagi di Gopeng.

"Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar untuk diberi keterangan kepada pelajar terbabit mengenai kesalahan itu (ponteng sekolah) dan PPD memandang serius terhadap gejala itu.

"Pemeriksaan ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati semua mereka tidak ada yang terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 6:18 PM