TENGKU Abdullah (tengah).
TENGKU Abdullah (tengah).
Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kekal ‘kebal’ biarpun diasak pelbagai pihak lantaran tiada rombakan dalam barisan kepimpinan apabila Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah terus menerajui badan induk itu sehingga Kongres Pemilihan FAM yang dipercepatkan tahun depan.

Dalam mesyuarat Exco FAM ke-9 semalam, ahlinya sepakat untuk terus berdiri teguh di belakang presiden, namun bersedia memberi laluan kepada barisan kepimpinan baru dalam pemilihan semua jawatan yang bakal berlangsung setahun lebih awal.

Keputusan itu sekali gus dilihat sebagai menolak hasrat Tengku Abdullah untuk meletakkan jawatan selain tiada pengunduran ahli Exco seperti yang diperkatakan sebelum ini.

Menurut Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah, pihak sekretariat akan mencadangkan tarikh sesuai bagi Kongres Pemilihan itu, namun ia tidak boleh dilakukan secara terburu-buru tahun ini.

“Kami akan mengembalikan semula mandat kepada ahli badan gabungan untuk menentukan pucuk kepemimpinan baharu FAM pada 2017.

“Ini bermakna (Kongres Pemilihan FAM) akan diawalkan dari yang sepatutnya, 2018. Kami juga memahami hasrat Presiden (Tengku Abdullah) untuk lepaskan jawatan dan atas tanggungjawab bersama, kami bersama baginda untuk pemilihan ini diadakan lebih awal tahun depan.

“Kami meminta pihak sekretariat mencadangkan tarikh kongres itu berdasarkan peraturan ditetapkan dalam statut FAM.

“Tahun ini ada beberapa agenda yang perlu dilaksanakan terutama Piala AFF pada November dan kami tidak mahu terburu-buru,” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Ramai yang pada mulanya beranggapan angin perubahan akan berlaku dalam barisan kepimpinan FAM apabila Tengku Abdullah mengulangi pendirian untuk melepaskan jawatan selepas tindakannya itu ditolak ahli Exco Februari lalu.

Malah, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa mempunyai bukti penyelewengan dan salah laku dalam badan induk itu menyatakan bahawa barisan Exco FAM sudah bersedia untuk berundur.

Ketika ditanya mengenai siapakah calon yang layak untuk bertanding pada pemilihan tahun depan, Afandi berkata, terbuka kepada semua rakyat Malaysia jika mendapat pencalonan daripada ahli gabungan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:54 AM