Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Ibu dan dua anak maut, manakala dua anak yang lain cedera dalam kemalangan di Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, Skudai di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 7.05 malam itu, Suriani Musa, 44, dari Taman Sri Pulai, di sini dan dua anaknya, Mohamad Syakir Shamsudin, 11 dan Mohamad Saufi, 8, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi anak Suriani, Mohamad Syauqi, 19 dilaporkan cedera parah dan Mohamad Syazwan, 21, yang memandu kereta Proton Satria cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu Mohamad Syazwan hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan dan pokok di kiri jalan di lokasi kejadian.

"Ibu dan dua anaknya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi anaknya cedera dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini," katanya.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 12:13 AM