MENYELAMI kesengsaraan pelarian.
MENYELAMI kesengsaraan pelarian.
ANAK-anak pelarian Syria melakukan aktiviti anjuran sukarelawan.
ANAK-anak pelarian Syria melakukan aktiviti anjuran sukarelawan.
SUASANA bilik darjah penduduk di Kenya.
SUASANA bilik darjah penduduk di Kenya.
KEADAAN pelarian yang terpaksa tidur di taman dengan hanya beralaskan kain dalam cuaca sejuk.
KEADAAN pelarian yang terpaksa tidur di taman dengan hanya beralaskan kain dalam cuaca sejuk.
Suliati Asri


Siapa kata menjadi sukarelawan menghalang kita untuk menghayati keindahan alam di lokasi bencana?

Walaupun ‘melancong’ bukan misi utama, perjalanan ke kawasan dilanda bencana sama ada disebabkan fenomena alam atau peperangan biasanya akan disajikan dengan pemandangan menarik.

Malah, jika bijak mengatur masa, sukarelawan juga berpeluang berkunjung ke tempat menarik di negara berkenaan dengan bantuan penduduk tempatan.

Ini dibuktikan Nadirah Babji, 25, warga Malaysia yang kini menjadi doktor pelatih di Davengere, India dan berpengalaman menyertai beberapa misi kemanusiaan di Syria, Greece, Turki dan beberapa negara di Afrika.

“Mengunjungi beberapa negara untuk melakukan tugas sukarelawan memberi peluang kepada saya menghayati keindahan lokasi dikunjungi.

“Sebagai contoh, ketika menyertai misi di Kenya. Perjalanan dari ibu negara Kenya, Nairobi ke perkampungan kaum Masai mengambil masa kira-kira dua jam menaiki Matatu (bas mini). Kami kemudian perlu menaiki kereta selama sejam setengah lagi untuk sampai ke perkampungan itu.

“Sepanjang perjalanan, kehijauan lembah yang luas terbentang kelihatan cukup mendamaikan,” katanya.

Selain itu, ketika berada di Tanzania, Nadirah berpeluang mengunjung perkampungan nelayan sambil menikmati keindahan waktu senja di sana.

“Saya juga berkesempatan melakukan lawatan bersama anak pelarian dengan mengunjungi Athens ketika berada di Greece,” katanya.

Bagi Nadirah, menjadi sukarelawan meletakkan dirinya lebih rapat dengan mangsa yang dibantu.

Dia berkata, peluang menyumbang untuk menjadikan dunia sebagai tempat terbaik kepada semua makhluk Tuhan tujuan pengembaraannya, bukan sekadar keseronokan semata-mata.

“Menjadi sukarelawan sebenarnya membuka peluang kepada kita mengetahui betapa luasnya dunia kerana tidak semua orang tahu mengenai sesuatu negara termasuk Malaysia.

“Ramai tak pernah dengar mengenai Malaysia. Apabila mengetahui saya dari Malaysia dan membuka peta, mereka sangat teruja untuk mengetahui dunia luar selain kampung mereka,” katanya.

Antara sebab Nadirah berhasrat menjadi sukarelawan sejak kecil ialah kerana mahu melihat dunia luar.

“Saya bukan jenis orang yang melancong atau mengembara sekadar nak tengok bangunan atau membeli-belah. Saya mahu menjalin hubungan sesama manusia dengan lebih dekat.

“Sebagai doktor, saya bertanggungjawab membantu orang yang memerlukan. Menjadi sukarelawan dapat memperluaskan rangkaian rakan untuk menjadikan dunia lebih aman,” katanya.

Pernah menjadi pengajar di sekolah Kenya dan doktor di Turki dan Greece, banyak pengalaman manis yang membuatkan dia gembira dengan tugas sebagai sukarelawan.

Antara pengalaman paling indah buatnya ialah ketika tinggal di rumah tradisional kaum Masai di Kenya untuk mengajar subjek sains dan sukan kepada kanak-kanak peribumi itu.

“Satu hari saya memasak nasi beriani dan ternyata penduduk tempatan sangat menyukainya. Sudahnya saya disuruh memasak hidangan itu hampir setiap hari di rumah berlainan selama seminggu.

Selain itu, pengalaman ditegur pelarian Syria di Greece yang pernah dibantunya ketika bertugas di Turki membuatkan Nadirah sangat terharu.

Mengenai pengalaman pahit, dia sangat sedih apabila tidak dapat membantu mangsa dengan sewajarnya.

“Saya pernah melihat seorang wanita yang pulang dari hospital di Turki kerana baru bersalin secara pembedahan terpaksa menaiki bot untuk ke Greece.

“Saya sangat terkesan dengan peristiwa itu sehingga mengalami kemurungan dan menangis selama tiga hari,” katanya.

Sebagai seorang wanita Islam dan bertudung, ia bukan penghalang kepadanya untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa saja.

“Rata-rata menerima penampilan saya tetapi di sesetengah tempat agak lucu apabila ada sesetengah mereka yang tidak pernah mengenali Islam terutama kanak-kanak di Darjeeling, India dan Kenya bertanya macam-macam soalan lucu mengenai Islam.

“Penerimaan dalam kalangan pelarian Syria paling baik. Mereka bersyukur ada orang Islam datang membantu berikutan kurangnya sukarelawan Muslim dan perbezaan budaya dengan sukarelawan dari Eropah yang turut membantu.

Melihat kesengsaraan dilalui sesetengah masyarakat dunia melalui kunjungan ke beberapa negara dengan tiket sebagai sukarelawan, ada perkara yang dilaluinya mengusik hati kecil.

Antaranya, sambutan Aidilfitri yang dirancang bersama rakan di Kem Vasilika, Greece, baru-baru ini.

“Kami menganjurkan sambutan Aidilfitri dengan memasang lampu berwarna-warni, menghidangkan juadah daging halal dan sedikit bunga api.

“Seorang anak pelarian Syria memberitahu saya bahawa pagi ini dia bangun dan terfikir mungkin tiada Aidilfitri untuknya tahun ini. Namun, selepas melihat sambutan kecil itu, budak itu sangat gembira sekali gus menjadi kenangan cukup bernakna buat saya,” katanya.

Bakal menamatkan latihan sebagai doktor pelatih tahun depan, seterusnya kembali ke tanah air untuk menjadi pegawai perubatan, Nadirah berkata, bergelar sukarelawan memerlukan banyak pengorbanan.

Bagi yang ingin melakukan kerja sukarelawan ini, pesan Nadirah: “Teruskan! Walaupun bermula dengan perkara kecil, tidak mustahil ia akan menjadi bantuan terbesar dalam hidup.

“Kita kena belajar untuk menurunkan ego dan keutamaan kita jauh-jauh.

“Tujuan saya menjadi sukarelawan di Afrika kerana mahu belajar melihat mereka setaraf dengan kita, bukan di bawah kita.

“Kita juga perlu belajar menghormati kepelbagaian budaya. Dunia kini sangat tenat. Tenat dengan provokasi, peperangan, kekejaman manusia, keganasan dan banyak lagi. Jadi, kita perlu berbuat sesuatu untuk menjadikan dunia tempat aman untuk semua manusia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 5:38 AM