KAKI murid terperosok hampir paras lutut. FOTO ihsan pembaca
KAKI murid terperosok hampir paras lutut. FOTO ihsan pembaca
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Murid perempuan tahun satu cedera selepas kakinya terperosok ke dalam lantai kelas di Sekolah Kebangsaan(SK) Sayed Othman di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada 8 pagi itu, mangsa, Nur Sheera Amyliana Iskandar,7, berada di kelasnya sebelum kakinya terperosok hampir paras lutut mengakibatkan mangsa terjatuh dan menangis.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sayed Othman, Rushdi Rani, 46, berkata, kejadian itu disedari oleh guru kelas yang seterusnya membantu mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.

"Mangsa kemudianya diberikan rawatan oleh pihak sekolah," katanya.

Katanya, kejadian itu disebabkan lantai kelas yang reput akibat dimakan anai-anai sejak sekian lama.

"Hampir 80 peratus bangunan sekolah dalam keadaan reput dan berbahaya kepada murid sekolah," katanya.

Katanya, pihak berkenaan pernah melawat sekolah ini pada 2012, bagaimanapun, masih belum mempunyai sebarang tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 3:04 PM