Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Warga kota yang masih ingkar membayar tunggakan cukai taksiran, sewa perumahan, sewaan gerai pasar atau notis kompaun trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal berdepan tindakan tegas termasuk tindakan mahkamah jika tidak menjelaskan bayaran itu dengan segera.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin berkata, setiap tahun sebanyak RM102 juta daripada RM1.2 bilion cukai taksiran tidak dijelaskan oleh pemilik harta di sekitar ibu negara.

Menurut beliau, sebanyak 50 peratus daripada RM64 juta sewa perumahan Projek Perumahan Rakyat(PPR) dan Perumahan Awam (PA) juga tidak dijelaskan manakala RM7.5 juta daripada RM17 juta sewaan gerai pasar masih tertunggak hingga ke hari ini.

"Selain itu, sebanyak RM1.42 jumlah kompaun saman trafik dikeluarkan tahun lalu namun sehingga kini, hanya RM153,000 bayaran dijelaskan.

"Justeru, warga kota diminta membayar segera tunggakan itu kerana DBKL akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan mahkamah ke atas penghutang tegar.

"Tunggakan hasil yang tinggi ini boleh menjejaskan perkhidmatan DBKL dan kita mensasarkan jumlah bayaran akan dapat ditingkatkan menerusi beberapa tindakan yang dilaksanakan termasuk pelaksanaan Kempen Membayar Tunggakan Hasil, " katanya pada sidang media sempena kempen berkenaan di ibu negara, sebentar tadi.

Kempen itu akan diadakanpada Ogos depan bagi memberi peluang kepada warga kota untuk menyelesaikan bayaran tertunggak.

Menerusi kempen berkenaan, warga kota berpeluang untuk bersemuka dengan pegawai DBKL untuk membuat rayuan, rundingan, menjelaskan bayaran serta mengemaskini maklumat mengenai tunggakan bayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 1:09 PM