PELARIAN warga Iraq di kem Dibaga di Iraq. Kabinet memutuskan supaya kad UNHCR hanya boleh dikeluarkan kepada pelarian yang berada di depoh tahanan atau seperti yang dicadangkan oleh KDN serta JIM. FOTO AFP
PELARIAN warga Iraq di kem Dibaga di Iraq. Kabinet memutuskan supaya kad UNHCR hanya boleh dikeluarkan kepada pelarian yang berada di depoh tahanan atau seperti yang dicadangkan oleh KDN serta JIM. FOTO AFP
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kabinet hari ini memutuskan untuk melarang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengeluarkan kad berkenaan kepada individu yang memohon secara terbuka atau 'walk in' berkuatkuasa serta merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya sudah memaklum perkara itu kepada badan berkenaan.

"Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan lambakan pemegang kad itu di negara ini walaupun tidak berkelayakan, sekali gus menyumbang kepada masalah sosial dan keselamatan.

"Ada di antara mereka yang datang ke pejabat UNHCR untuk memohon kad berkenaan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan boleh bergerak bebas termasuk bekerja dengan hanya menggunakan kad itu.

"Sedangkan pengeluaran kad terbabit sepatutnya mendapat kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terutama pihak Jabatan Imigresen (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Shahidan berkata, kad berkenaan hanya boleh dikeluarkan kepada pelarian yang berada di depoh tahanan atau seperti yang dicadangkan oleh KDN serta JIM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 4:08 PM