RANGKA manusia ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan dihurungi lalat.
RANGKA manusia ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan dihurungi lalat.
Ardyhansah Amat


Tawau: Satu rangka manusia dengan kesan terbakar di kepala ditemui orang ramai di tepi Pantai Tinagat, Batu 8, di sini, semalam.

Dalam kejadian 1.30 petang itu, rangka manusia tersebut ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan dihurungi lalat.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus ketika dihubungi di sini, hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

"Rangka tersebut ditemui dengan kesan terbakar dan kakinya diikat tali.

"Turut ditemui tayar kereta separuh terbakar berhampiran mayat mangsa sekali gus menguatkan dakwaan kemungkinan mangsa mati dibunuh," katanya.

Tambah Fadil, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada rangka manusia berkenaan.

"Rangka tersebut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Besar Tawau dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 4:27 PM