FOTO ihsan polis
FOTO ihsan polis
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Seorang remaja perempuan 18 tahun ditemui lemas di pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Mok Hiu Wen, dikatakan datang berkelah di lokasi berkenaan bersama keluarga dan jiran sejak jam 8 pagi.

Bagaimanapun, selepas berehat makan tengah hari, mangsa dan adiknya turun semula ke pantai untuk mandi sebelum lemas.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, mangsa datang dari Ulu Tiram di sini, dan bermandi-manda sehingga tengah hari sebelum berhenti sebentar untuk makan tengah hari.

"Mangsa dan adiknya kemudian meneruskan aktiviti mandi-manda dan kira-kira jam 1.30 tengah hari, kedua-dua mereka menghadapi kesukaran dan mula lemas.

"Adik mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam, namun mangsa gagal diselamatkan dan hilang dibawa arus," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 2 petang.

Beliau berkata, usaha mencari dan menyelamat mangsa dijalankan empat anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Penawar.

Menurutnya, pihaknya menemui mayat gadis berketurunan Tionghua itu pada jam 3.50 petang, kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang ketika mandi di pantai berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Julai 2016 @ 6:40 PM