CARROLL (tengah) sumbang dua gol untuk West Ham.
CARROLL (tengah) sumbang dua gol untuk West Ham.
TANDUKAN Carroll (kiri) merobek gawang Swansea.
TANDUKAN Carroll (kiri) merobek gawang Swansea.

London: Pengurus West Ham, Sam Allardyce menyanjung tinggi Andy Carroll selepas dua gol penyerang itu membantu kemenangan 3-1 ke atas Swansea City sekali gus melonjakkan pasukannya ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

Carroll yang terlepas aksi tiga bulan pertama musim ini kerana kecederaan buku lali, menanduk masuk dua gol dan mencipta gol lewat buat pemain gantian Diafra Sakho ketika West Ham bangkit mencipta kemenangan di Upton Park.

Swansea mendahului menerusi gol minit ke-19 Wilfried Bony, namun mereka gagal mengekang Carroll dan mengakhiri perlawanan dengan 10 pemain apabila penjaga gol Lukasz Fabianski dibuang padang kerana menghalang Sakho.

“Memang bagus buat Carroll,” jelas Allardyce, selepas menyaksikan pasukannya meneruskan permulaan terbaik musim sejak 1999.

“Gerakannya dalam kotak penalti menakjubkan. Tandukan dalam kotak penalti hadir apabila pergerakan anda tepat dan ia terbukti dengan dua golnya.

“Dia sukar dibendung apabila mendapat ruang sebegitu. Saya harap dia akan meneruskan rentak cemerlang ini.”

Selepas Bony meledak masukjaringan hasil hantaran Jefferson Montero, Carroll menyamakan kedudukan empat minit sebelum rehat dengan tandukan kencang daripada hantaran silang Carl Jenkinson dari sebelah kanan.

Bekas penyerang England itu menyambut sepakan sudut Stewart Downing dengan satu lagi tandukan padu untuk meletakkan West Ham di depan pada minit ke-66 dan tolakannya membolehkan Sakho menyumbat gol ketiga.

“Tiga gol lagi dan pencapaian baik dalam lapan hari, sembilan mata,” jelas Allardyce. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:34 AM