MASTURA (kiri) mendengar aduan daripada Hashim (tengah) yang datang bersama anaknya, Mohd Hanafi. FOTO Supian Ahmad
MASTURA (kiri) mendengar aduan daripada Hashim (tengah) yang datang bersama anaknya, Mohd Hanafi. FOTO Supian Ahmad
Nor Raidah Awang


Kuala Kangsar: Selepas diumumkan sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang baru malam tadi, Datin Mastura Mohd Yazid mula menjalankan tugasnya biarpun tidak boleh keluar dari rumah berikutan masih dalam tempoh idah.

Penduduk dari Kampung Menora, di sini, Hashim Azaldin, 70, menjadi penduduk pertama mendapatkan khidmat bantuan Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu di kediamannya di Bukit Chandan di sini, 9.45 pagi tadi.

Mastura yang ditemui di kediamannya berkata, Hashim datang bersama anaknya, Mohd Hanafi, 14, bagi meminta merawat masalah penglihatannya selepas kedua-dua matanya kabur.

"Pak cik (Hashim) ini adalah orang pertama yang datang berjumpa dan meminta bantuan selepas saya menjadi Ahli Parlimen di sini," katanya.

Sementara itu, penduduk kedua yang datang untuk meminta bantuan Mastura ialah Ismail Awang Besar, 52, yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Lembah Sayong.

Menurut Mastura, Ismail meminta bantuan kewangan yang mahu digunakan sebagai tambang untuk pulang berhari raya dan bertemu keluarga di Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 12:57 PM