MASJID Kerisik menjadi destinasi bersejarah buat kariah Masjid BTP.
MASJID Kerisik menjadi destinasi bersejarah buat kariah Masjid BTP.
Adam Salleh


Apalah makna hidup bersenang-lenang jika tetangga seagama tidak selesa. Berteraskan jalinan ukhuwah saudara seagama mendorong ahli kariah Masjid Bandar Tasik Puteri (BTP), Rawang , Selangor, menjayakan program Jaulah Tarbawi di selatan Thailand, baru-baru ini.

Mendapat kerjasama Kelab Kembara Amal BTP, program dua hari tiga malam itu menjadi signifikasi kecintaan peserta kepada institusi Islam di selatan Thailand yang banyak melahirkan ulama dan pelbagai pondok pengajian Islam subur di sana.

Sejarah sukar menidakkan orang Kelantan dan Pattani adalah suku sama dalam rantau Nusantara yang bertunjangkan satu akidah iaitu Islam. Angkara penjajah membuatkan negara bersaudara ini terpisah lalu penduduk Islam di sini diperintah kerajaan Buddha.

Pengarah Program Muhammad Hatem Zakaria berkata, kembara ilmu ke selatan Thailand terutama wilayah Yala dan Narathiwat memberi banyak informasi berguna kepada kariah Masjid BTP mengenai pengurusan dan pembangunan pelbagai sekolah pondok di sana.

“Kita maklum tiga wilayah di selatan Thailand majoriti berpenduduk Islam. Pastinya bertukar pandangan begini banyak memberi kebaikan kepada agama. Konflik yang dihadapi wilayah bergolak itu menginsafkan dan memberi kesedaran pada kita betapa pentingnya keamanan.

“Dengan rezeki yang ada, pihak Masjid BTP menyalur sumbangan kewangan untuk pembangunan sekolah pondok,” katanya.

Lokasi yang dilawati rombongan Masjid BTP antaranya Universiti Islam Fatoni di Yala, Sekolah Pondok Dala di Pattani, Sekolah Pondok Tuan Guru Haji Ibrahim Kampung Cerukwat di Pattani, Masjid Kerisik, tempat lahir Syeikh Daud Fatoni dan sekitar bandar Pattani Darus Salam.

Nazir Masjid BTP Mohd Yusri Abdul Manaf menyifatkan program Jaulah Tarbawi sangat tepat jika mengambil kira saudara seislam di sana sedang mengalami masalah mendapatkan dana untuk membangunkan pusat pendidikan Islam kerana kekacauan politik.

“Hasil perbincangan, kami berusaha mencari jalan mendapatkan dana dalam proses merealisasikan penubuhan Pusat Ilmuan Putra-Pattani. Pada waktu sama pihak masjid mahu menjalin usaha sama keilmuan dengan Universiti Pattani.

“Semoga penganjuran program Jaulah Tarbawi dapat diteladani pihak lain demi membangkitkan rasa kasih sayang dan seterusnya menjalinkan ukhuwah antara negara serumpun di Nusantara,” katanya.

Selepas ini, Yusri berkata, program kembara ilmu akan ke Aceh dan menjelajah Krabi dengan kereta pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 1:15 PM