KEKAL asli.
KEKAL asli.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Sejarah Daihatsu Charmant bermula pada 1974 dengan tiga varian berbeza membabitkan Charmant LC, LD dan LE .

Charmant berasal perkatan dari Perancis yang bermaksud menawan dan pada zaman kelahirannya, jentera itu adalah kenderaan bagi golongan kelas atasan.

Namun pada 1981 generasi Charmant kedua terus diperkenalkan berikutan sambutan yang memberangkan di pasaran global, maka lahirlah Charmant LGX dengan beberapa perubahan termasuk sistem rangkaian kuasanya.

Reka bentuk jentera itu boleh dianggap pencabar kepada Toyota Corolla berikutan ia kelihatan hampir sama daripada semua sudut.

Dalam dunia autoshow, jentera ini sangat sukar untuk dilihat berikutan kuantiti yang terhad dan sukar ditemui di pasaran Malaysia.

Bagi pekerja membaiki penyaman udara kereta di Junjung, Kulim, Kedah, Muhajir Afwan Abdullah, 23, Daihatsu Charmant LGX keluaran 1982 miliknya sangat unik apabila menggunakan rangkaian kuasa SR20DET daripada Nissan Silvia S14.

Seperti yang diketahui, enjin Nissan Silvia S14 mempunyai kuasa mantap dan bertenaga dengan sesaran 2,000cc.

Namun, akibat pemiliknya yang ‘gilakan’ kelajuan, dia menaik taraf enjin itu dengan menukar omboh lebih besar bersaiz 87 milimeter (mm).

Ubah suai tidak terhenti di situ apabila turbo standard AR60 digandingkan dengan wastegate Turbosmart 38mm dan sistem penyejuk Apexi, selain menggunakan pelbagai komponen berprestasi untuk meningkatkan prestasi mencecah 250hp.

Sistem kuasa terus dipertingkatkan dengan ekzos saluran terus dengan peredam bunyi kustom bersaiz lima inci.

Bagi kestabilan jentera, pemilik menggunakan suspensi boleh laras HKS pada bahagian hadapan, manakala belakang dipadankan jenama Apexi.

Kuasa hentian diperhebatkan selepas dilengkapi sistem brek cakera yang turut diambil daripada Nissan Silvia.

Sudut luarannya masih mengekalkan banyak komponen asal, namun penambahan ‘penyodok’ pada bampar hadapan dari jenama Volvo, spoiler binaan khas serta cermin sisi berjenama Craf membuatkan ia lebih bernilai.

Sementara itu, bahagian dalaman diberi sentuhan lebih sporty selepas menggunakan kerusi bucket jenama SSCUS, butang kawalan pelbagai fungsi serta bumbung matahari dari jentera Nissan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:01 AM