RUSDI Jaafar ketika sidang media. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
RUSDI Jaafar ketika sidang media. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Hayati Ibrahim


Sepang: Kes laporan palsu di sekitar kawasan Sepang meningkat 300 peratus tahun ini, kebanyakannya membabitkan kehilangan kad pengenalan selepas mengaku disamun atau diragut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Rusdi Jaafar berkata, tujuan laporan dibuat bagi mengelakkan dikenakan denda ketika memohon kad pengenalan baru akibat kecuaian sendiri yang menghilangkan dokumen pengenalan diri berkenaan.

"Sepanjang Januari hingga bulan ini, 13 laporan palsu diterima berbanding empat sepanjang tahun lalu. Namun, 12 daripadanya sudah dituduh di mahkamah dan dikenakan denda manakala satu lai masih dalam siasatan.

"Pihak polis memandang serius perkara ini kerana setiap laporan yang dibuat akan disiasat dari segenap sudut, sehubungan itu kami menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan palsu kerana mereka boleh dihadapkan ke mahkamah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang di sini, hari ini.

Rusdi berkata, mereka yang disabitkan dengan kesalahan ini boleh dituduh mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 8:13 PM