JANATHAN (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan dadah yang berjaya dirampas. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
JANATHAN (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan dadah yang berjaya dirampas. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan cubaan membawa masuk dadah jenis syabu lebih 6.2 kilogram yang bernilai RM3.5 juta dalam tangkapan membabitkan seorang lelaki tempatan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 3.40 petang, suspek berusia 34 tahun itu dikatakan baru sahaja tiba di negeri ini menggunakan penerbangan Air Asia dari Kuala Lumpur sebelum ditahan di bahagian pemeriksaan berhampiran pintu balai ketibaan KKIA.

Pengarah JKDM Sabah, Datuk Dr Janathan Kandok berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas anggota Kastam melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kotak yang dibawa lelaki itu melalui imbasan sebelum mendapati terdapat bahan mencurigakan disorok di dalam kotak itu.

"Hasil pemeriksaan ke atas kotak berkenaan, kita berjaya menemui enam bungkusan yang dibalut menggunakan kertas surat khabar dan disorokkan menggunakan plastik bungkusan teh cina.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan-bungkusan berkenaan berisi dadah jenis syabu seberat lebih 6.2 kilogram yang disyaki cuba diseludup masuk oleh suspek ke dalam negeri ini," katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Sabah, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes itu adalah tangkapan dadah yang terbesar pada tahun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 10:43 AM