Penguat kuasa Imigresen memeriksa warga asing dalam serbuan Ops Ikrar, di Plaza Hang Tuah, petang semalam.
Penguat kuasa Imigresen memeriksa warga asing dalam serbuan Ops Ikrar, di Plaza Hang Tuah, petang semalam.
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Ikrar oleh Jabatan Imigresen Melaka (JIM) di Plaza Hang Tuah, di sini, petang semalam.

Semua warga asing berkenaan ditahan pada 4 petang, sebaik mereka turun dari bas.

Penolong Pengarah Kanan JIM Mohamed Lamsah Othman berkata, operasi itu dijalankan hampir empat jam bermula 1.30 tengah hari dengan seramai kira-kira 200 warga asing diperiksa.

"Daripada jumlah yang diperiksa itu, seramai 20 lelaki warga asing yang gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah ditahan.

"Mereka berusia antara 20 hingga 45 tahun. Dua daripada PATI yang ditahan adalah warga Nigeria," katanya.

Menurutnya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c ) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) dan dibawa ke Depoh Tahanan Machap Umboo, Alor Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 6:58 PM