JOKOWI
JOKOWI

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) semalam mendesak hukuman berat dikenakan terhadap 14 lelaki yang merogol dan membunuh seorang pelajar sekolah.

“Kita semua bersedih dengan kematian tragik mangsa.

“Tangkap dan jatuhkan hukuman seberat yang boleh terhadap pesalah berkenaan,” kata Jokowi dalam laman Twitter miliknya.

Jokowi mengeluarkan kenyataan itu selepas lebih sebulan kes rogol dan bunuh pelajar berusia 14 tahun itu berlaku di Bengkulu di Sumatera.

Kes berkenaan turut mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa kerajaan tidak berusaha untuk melindungi wanita dan kanak-kanak.

“Kes ini menunjukkan jenayah seksual masih tidak mendapat perhatian yang sewajarnya,” kata satu kenyataan oleh suruhanjaya kebangsaan untuk perlindungan wanita daripada keganasan.

Pembunuhan itu juga mengejutkan rakyat Indonesia dan mencetuskan gerakan di media sosial bagi menghentikan keganasan seksual.

Sementara itu, polis Bengkulu berkata, tujuh remaja bawah umur kini dibicarakan, lima lelaki dewasa pula masih disoal-siasat dan dua lagi suspek masih diburu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 10:23 AM