DAKWAAN tindakan pemandu yang dipaparkan di media sosial. FOTO Facebook
DAKWAAN tindakan pemandu yang dipaparkan di media sosial. FOTO Facebook
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis Johor menyeru pemandu kereta Mercedez Benz S400 bernombor pendaftaran Singapura SKN 8285 M supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung tindakannya yang didakwa memandu secara melulu sehingga menjadi viral di Facebook (FB), sejak semalam.

Gambar pemandu berkenaan bersama kenderaannya turut dirakam pengguna jalan raya yang berang dengan tindakannya memandu dalam keadaan merbahayakan pengguna lain, malah didakwa bersikap tidak sopan dan berlagak apabila ditegur.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik negeri, Superintendan Baharudin Mat Taib berkata, walaupun lelaki berkenaan mendakwa dia tidak menyebabkan kemalangan berikutan keretanya tidak mengalami kesan kemalangan, namun dia masih boleh disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Beliau berkata, isu pemandu kereta itu turut mendapat perhatian apabila dia mendakwa mempunyai hubungan baik dengan Polis Johor dan mencabar pengguna jalan raya membuat laporan polis terhadapnya.

"Kita tidak mempunyai sebarang kaitan dengan insiden ini dan tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas.

"Laporan polis sudah dibuat oleh saksi kejadian itu dan semakan juga sudah dilakukan mendapati pemandu terbabit mempunyai 13 rekod saman yang belum dijelaskan iaitu 12 saman atas kesalahan memandu laju dan satu saman atas kesalahan memandu di lorong kecemasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 7:28 PM