Omar Ahmad.


Johor Bahru : Dua pemandu bas pekerja dikesan positif dadah ditahan dalam Ops Khas Bersepadu (Bas Pekerja) dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pemandu lelaki yang ditahan berumur 24 dan 34 tahun masing-masing positif dadah jenis methaphetamin dan ganja selepas ujian saringan urin dibuat.

Katanya operasi membabitkan pemandu dan pengusaha bas pekerja dibuat susulan aduan awam yang mendakwa pemanduan mereka mengabaikan keselamatan dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

"Ada pemandu terpalit dengan isu penyalahgunaan dadah dan memandu dalam pengaruh alkohol (mabuk) serta isu buli jalan raya.

"Terdapat kejadian pada 21 Oktober lalu, pihak polis menerima aduan sebuah bas pekerja memandu secara melulu dan bahaya oleh orang awam di kawasan Perindustrian Tebrau.

AYOB Khan (depan, kanan) melihat keadaan bas ketika Ops Khas Bersepadu Bas Pekerja. FOTO Omar Ahmad
AYOB Khan (depan, kanan) melihat keadaan bas ketika Ops Khas Bersepadu Bas Pekerja. FOTO Omar Ahmad

"Bertindak atas aduan tersebut serta hasil pemeriksaan lanjut terhadap pemandu berkenaan mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamin dan telah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Ops Bersepadu Khas Bas Pekerja di Taman Impian Emas, di sini.

Menurut Ayob Khan, hasil operasi ini, 42 saman dikeluarkan termasuk dua pemandu didapati tiada lesen memandu manakala 25 lagi tiada lesen GDL dan PSV.

"Antara saman lain yang dikeluarkan atas kesalahan tiada alat pemandam api dan tiada kotak kecemasan.

"Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan 26 saman, enam notis dan empat kompaun atas kesalahan berkaitan asap dan bunyi kenderaan.

"Dalam operasi ini, kita juga buat ujian air kencing terhadap 20 pemandu,yang mana dua daripadanya positif methaphetamin dan ganja," tambahnya.

Beliau berkata, terdapat 144 kes kemalangan membabitkan bas pekerja pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 10:39 AM