Rahmat akui penampilan ‘abang’ bomba seperti yang dilihat di laman sosial beri nilai tambah kepada jabatan itu.
Rahmat akui penampilan ‘abang’ bomba seperti yang dilihat di laman sosial beri nilai tambah kepada jabatan itu.
FOTO yang tersebar di laman sosial. FOTO ihsan JBPM
FOTO yang tersebar di laman sosial. FOTO ihsan JBPM
Mazizul Dani

Kuala Lumpur: Gambar ‘abang’ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang segak, berbadan 'sado' dan kelihatan sentiasa menjaga penampilan seperti sering dilihat di laman sosial sesuatu yang positif dan memberi nilai tambah kepada jabatan itu.

Perunding Imej, Rahmat Bahaudin, 28 , berkata, penampilan anggota bomba seperti itu memberikan pandangan pertama yang sangat baik sebagai pasukan yang selalu berhadapan dengan masyarakat umum.

"Dari sudut pandangan perunding imej, ia memberikan impak pandangan pertama yang baik. Bukan saja memberi keyakinan kepada anggota bomba kerana berpenampilan menarik malah dapat memberikan pandangan positif kepada masyarakat bahawa anggota bomba masih mementingkan penampilan ketika menjalankan tugas berat dalam membantu masyarakat.

"Walaupun memakai uniform, anggota bomba masih lagi boleh memberikan penampilan yang menarik terutama daripada penjagaan diri, gaya rambut, penjagaan wajah, bentuk badan dan pakaian yang kemas. Sikap ini adalah baik dan harus menjadi contoh kepada badan beruniform lain," katanya yang diiktiraf oleh ByFERIAL Image Consulting Australia.

Menurut Rahmat, imej anggota itu mampu memberi imej yang lebih baik kepada jabatan secara keseluruhan kerana memberikan semangat dan nilai tambah kepada JBPM walaupun dikenali sebagai sebuah badan beruniform.

"Kriteria penampilan terbahagi kepada tiga iaitu ketrampilan, kelakuan dan komunikasi. Sekiranya ketiga-tiga perkara ini dapat dijaga dengan baik oleh seluruh anggota bomba ia bakal memberikan impak yang positif kepada jabatan bomba itu sendiri," katanya.

Seorang lagi perunding imej, Krystal Clare Henry, 35, berkata, imej yang ditonjolkan oleh anggota pasukan beruniform adalah terjemahan kepada pasukan berkenaan secara keseluruhan.

"Menjaga penampilan daripada aspek penjagaan badan dan kesihatan sangat penting untuk sesiapa sahaja. Tetapi bagi tugas-tugas yang imej menjadi keutamaan, ia adalah sesuatu yang wajib. Tetapi ia mestilah selari dengan emosi, mental dan fizikal.

"Seperti mana-mana pasukan beruniform, imej adalah sangat penting. Bila kita memakai uniform, kita secara langsung mewakili pekerjaan atau syarikat kita. Sebagai anggota bomba, imej dan ketrampilan mereka secara tidak langsung membawa pengertian bahawa jika mereka mampu menjaga diri mereka, mereka juga mampu berkhidmat untuk masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 8:06 PM