Siti Farahiyah Aziz

Selepas anda berjaya mendapatkan si dia sebagai pasangan, itu tidak bermakna memilikinya sepenuhnya. Sebaliknya anda perlu sedar si dia masih ada kehidupannya bersama keluarga dan rakannya.

Perhubungan yang terbina hanya membabitkan anda dan si dia saja pasti tidak begitu menyeronokkan. Ini kerana anda dan si dia perlu bergaul dengan orang rapat dan sekeliling masing-masing. Usah jadi seperti ‘kacang lupakan kulit’ yang tidak menghiraukan kewujudan orang lain selepas mendapat pasangan.

Sekiranya anda ingin memiliki hubungan yang lebih serius, mengenali satu sama lain tidak mencukupi, sebaliknya luangkan masa mendekati orang paling rapat dengan si dia seperti keluarga dan sahabatnya kerana mereka lebih mengenali si dia.

Takut pasangan berubah hati? Ya, itu adalah risikonya. Tapi menerima hubungan persahabatan si dia juga satu pengorbanan bagi diri anda kerana itu menunjukkan anda boleh menerima individu lain yang rapat dengan pasangan sebelum anda bersamanya. Paling penting adalah kepercayaan.

Oleh itu, selain mendapatkan hati pasangan, anda juga membuatkan sahabatnya menghargai diri anda kerana tidak memisahkan persahabatan mereka.

Fahami karakter pasangan

Pada awal perhubungan, anda dan pasangan mungkin mengalami kesukaran dalam mengenali personaliti masing-masing. Mendekati individu paling rapat dengan pasangan adalah salah satu penyelesaian terbaik kerana antara mereka tiada rahsia.

Menjaga hubungan baik dengan sahabat pasangan adalah bonus untuk anda kerana boleh mengetahui perkara yang disukai dan tidak disukai pasangan anda.

Memberi bantuan

Rapat dengan sahabat pasangan tidak bermakna wujud perasaan cinta. Namun, itu antara cara untuk meyakinkan pasangan bahawa anda juga boleh membantu sahabatnya.

Sekiranya, si dia tidak dapat membantu sahabatnya kerana lokasi yang jauh, anda boleh menggantikannya membantu sahabat pasangan menyelesaikan tugasannya. Contohnya, sahabat si dia datang temu duga berhampiran tempat kerja anda atau menghantarnya ke stesen bas.

Tindakan ini membuatkan si dia dan sahabatnya menghargai anda kerana anda boleh menyesuaikan diri sebagai teman yang baik. Bagaimanapun, dalam menghulurkan bantuan anda perlu menetapkan batas atau had supaya mereka tidak mengambil kesempatan di atas kebaikan anda.

Pendamai konflik

Setiap perhubungan terjalin tidak akan terlepas daripada masalah atau konflik akibat perselisihan pendapat. Sahabat tentunya dapat menghidu kedinginan anda dan pasangan sehingga dia sanggup menjadi pendengar setia kepada masalah yang anda dan pasangan alami.

Jangan terlalu cepat menilai tindakan sahabat anda itu kerana tujuannya untuk membantu perhubungan anda dan pasangan kembali pulih. Dia juga boleh menjadi penasihat selepas mendengar luahan anda dan pasangan supaya tidak menyalahkan antara satu sama lain secara berterusan.

Kenalkan pada sahabat anda

Jika sahabat pasangan masih ‘single’, tidak salah sekiranya mengenalkan dia dengan sahabat anda. Rancang satu aktiviti yang membolehkan sahabat anda dan pasangan boleh turut serta seperti bermain boling.

Siapa tahu sekiranya mereka sesuai menjadi pasangan dan jika sebaliknya anda berempat boleh terus bersahabat. Keadaan itu pasti menyeronokkan kerana anda boleh keluar bersama tanpa rasa kekok. Selain itu, jika sahabat anda akan sentiasa ada untuk membantu perhubungan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 11:50 AM