MOTOSIKAL milik mangsa. FOTO ihsan polis
MOTOSIKAL milik mangsa. FOTO ihsan polis
Na'imah Mohamed


Shah Alam: Seorang lelaki warga Indonesia yang berteduh di bawah jejambat untuk mengelak hujan maut selepas diseret treler dalam kejadian di kilometer (KM) 4.4 Lebuhraya NKVE, berhampiran susur keluar dari Setia Alam menghala ke Kuala Lumpur, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, mangsa yang dikenalpasti sebagai Basori, 39, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas diseret kira-kira lima meter oleh lori berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa dalam perjalanan dari Klang menghala ke Kuala Lumpur menaiki motosikal Yamaha Lagenda sebelum berhenti di lorong kecemasan di bawah jejambat untuk berteduh daripada hujan.

"Siasatan awal mendapati ketika mangsa sedang membuka topi keledarnya, sebuah lori kontena yang datang dari arah yang sama telah bergesel dengan motosikalnya sebelum beg yang dipakai mangsa turut tersangkut mengakibatkannya terseret.

"Mangsa diseret sebelum terjatuh, namun dia meninggal dunia di tempat kejadian dan lori kontena berkenaan tidak memberhentikan kenderaannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 12:38 PM