NURUL Syazwani Azrin Abdul Razak menunjukkan produk FELDA Best.
NURUL Syazwani Azrin Abdul Razak menunjukkan produk FELDA Best.
myMetro

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) melalui program Satu Wilayah Satu Industri (Sawari) meletakkan sasaran untuk mencapai jualan sehingga RM2 bilion menjelang akhir tahun ini bagi produk di bawah jenama Felda Best.

Pengarah Jabatan Pembangunan Usahawan FELDA, Datuk Amir Hamdan Yusof berkata, pihaknya berjaya mencatat jualan sehingga RM1.7 bilion pada tahun lalu.

“Kami menjangkakan jumlah jualan akan terus meningkat khususnya dengan pertambahan cawangan Sawari di beberapa lokasi dalam masa terdekat,” katanya selepas pelancaran cawangan terbaru Sawari di sini, semalam.

Setakat ini, cawangan Sawari terletak di Johor, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu dan Sabah.

Menurutnya, cawangan Sawari terbaru yang terletak di Menara FELDA, Platinum Park di sini, adalah cawangan ke lapan kendalian FELDA dijangka membantu meningkatkan jumlah jualan memandangkan ia mampu menarik pelanggan bukan di kalangan warga FELDA.

“Kebanyakan cawangan Sawari terletak dalam kawasan FELDA dengan sebahagian besar pelanggan adalah di kalangan kelompok ini.

“Namun, dengan strategi baru yang dilaksanakan, kami akan meninjau lokasi berpotensi khususnya di luar kawasan FELDA bagi mempelbagaikan profil pelanggan khususnya di kalangan pelancong dan ekspatriat,” katanya.

Sementara itu, Amir berkata, pihaknya juga akan meningkatkan eksport produk keluarannya ke beberapa negara dengan fokus diberikan kepada produk makanan.

“Setakat ini, kami mengeksport produk ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jepun dan Singapura yang dipasarkan di pasar raya terpilih di negara berkenaan dengan produk yang diutamakan adalah makanan sejuk beku dan kering,” katanya.

Setakat ini, terdapat 22,398 usahawan Sawari dan pihaknya meletakkan sasaran mencapai sehingga 30,000 usahawan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 7:01 AM