DIER (tengah) jaring gol kemenangan England.
DIER (tengah) jaring gol kemenangan England.

London: Pemain tengah Eric Dier meluahkan pujian buat pengurusnya di Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino dan menganggap pengendali itu memainkan peranan besar hingga membolehkan pemain Spurs menyarung jersi England.

Dier menjaringkan gol kemenangan 3-2 England ketika bertemu Jerman pada aksi persahabatan kelmarin selepas rakan sepasukannya di Tottenham Harry Kane menjaringkan gol pertama pasukan. Perlawanan itu turut menampilkan dua lagi pemain Spurs Dele Alli serta pertahanan Danny Rose.

“Secara jujurnya, kami perlu berterima kasih kepada pengurus kami yang membolehkan kami mencipta peluang untuk bermain mewakili skuad kebangsaan,” kata Dier.

“Semua pemain Spurs sedar betapa beruntungnya kami mempunyai jurulatih seperti beliau. Manuel seorang yang sangat bijak.”

Keempat-empat pemain itu menjadi sandaran Pochettino musim ini dan kelab utara London itu sedang memburu kejuaraan pertama dalam tempoh 55 tahun.

Spurs menduduki tangga kedua liga, lima mata di belakang pendahulu Leicester City sambil berbaki tujuh perlawanan dan Dier berkata, dia tidak sabar untuk membuktikan sokongannya kepada Pochettino.

“Beliau menuntut sesuatu yang besar daripada kami, sentiasa mahukan kami supaya meningkat, mahukan kami supaya menjadi lebih baik,” kata pemain pertahanan itu yang diikat Spurs dari Sporting Lisbon, dua tahun lalu.

“Faktor itulah yang meletakkan kami di kedudukan sekarang, kami mahu membalas budi beliau. Tapi kami perlu terus berpijak di bumi nyata. Itulah saja cara yang ada.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 10:56 AM