HOONG memberikan angpau kepada penghuni rumah berkenaan.
HOONG memberikan angpau kepada penghuni rumah berkenaan.
Hajahfarhana Tarmudi


Di kala masyarakat Cina di seluruh negara menyambut kemeriahan Tahun Baru Cina dengan mengenakan pakaian baru, menghias rumah dan menyediakan hidangan makan besar untuk seisi keluarga, masih ada insan yang bersedih.

Namun, kesedihan 46 penghuni Home for the Aged (C.W.S) Simee itu diceriakan dengan gaya fe­syen rambut baru apabila Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) membawa pendandan rambut untuk mempamerkan kepakarannya.

Pertubuhan berkenaan ditubuhkan untuk membantu menjaga warga tua yang miskin, tiada tempat tinggal dan terabai tanpa mengira kaum serta agama.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program kemasyarakatan dan usaha syarikat berkenaan untuk berkongsi kegembiraan serta kemakmuran dengan golongan masyarakat kurang bernasib baik.

Menurut Naib Presiden Pertama Modal Insan F&NHB, David Hoong, ini adalah kali ketiga mereka mengadakan program perayaan bersama penghuni rumah warga tua sejak ia dilancarkan pada 2009.

“Kami teruja untuk menganjurkan program amal pada musim perayaan setiap tahun kerana ingin mengambil peluang berbakti kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Musim perayaan adalah masa yang sesuai untuk kami membalas budi baik masyarakat yang menyokong jenama ini. Namun, perkara yang lebih penting ialah dapat berkongsi kejayaan dengan masyarakat tanpa mengira usia. Sebab itulah kami sangat gembira dapat merayakan Tahun Baru Cina bersama penghuni rumah orang tua ini,” katanya.

Di dalam majlis berkenaan, semua warga emas mendapat sentuhan dandanan daripada pakar rambut APT Academy of Ipoh, Jenny Soo, sebelum menikmati jamuan bufet yang disediakan.

Lebih menggembirakan apabila syarikat berkenaan turut menyampaikan sumbangan wang tunai untuk membantu menampung keperluan rumah kebajikan itu selain pemberian angpau serta beg hadiah kepada semua penghuni.

Menariknya, dalam sesi karaoke, penghuni rumah berkenaan tidak melepaskan peluang menunjukkan aksi tarian dan memperdengarkan kemerduan suara masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 5:45 AM