Antara warga asing yang ditahan. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Antara warga asing yang ditahan. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Jabatan Imigresen Johor menahan 65 warga asing termasuk enam wanita kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dalam serbuan di rumah pekerja ladang sawit di Bukit Cantik, Kahang dekat Kluang, awal pagi tadi.

Mereka yang ditahan berusia 17 hingga 62 tahun dan 60 daripada mereka adalah warganegara Indonesia, manakala empat dari Bangladesh dan seorang Nepal.

Pegawai Kanan Imigresen Jabatan Imigresen Johor, Rashiddin Rahmat berkata, pihaknya menjalankan Ops Ikrar (Sapu) kira-kira 2.30 pagi dengan bantuan Pegawai Imigresen Kluang dan Batu Pahat bagi memeriksa rumah pekerja dalam ladang sawit berkenaan.

Katanya pemeriksaan dibuat ke atas 90 individu di penempatan itu dan 65 ditahan.

"Kita menahan dua lelaki warga negara Bangladesh yang ketika itu di pondok pengawal keselamatan ladang berkenaan, manakala yang lain ditahan ketika sedang tidur di rumah pekerja terbabit," katanya yang mengetuai operasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 7:59 PM