DUA sukarelawan menyiapkan mural di bangunan sekolah.
DUA sukarelawan menyiapkan mural di bangunan sekolah.
AKTIVITI mencuci tangan.
AKTIVITI mencuci tangan.
SUKARELAWAN membimbing murid-murid memberus gigi.
SUKARELAWAN membimbing murid-murid memberus gigi.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Perbezaan budaya serta bahasa tidak mengekang kemesraan 18 sukarelawan daripada Kelab Fasilitator Bitara Universiti Pendidikan Sultan Idris (KEFB) menjalankan program UPSI Outreach Mission bersama penduduk Kampung Pray Bis di Wilayah Chnang, Kemboja.

Dasar penganjuran aktiviti itu ialah mewujudkan budaya sukarelawan berimpak tinggi yang mendapat sokongan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI bersama Kerajaan Negeri Perak dan dibantu Alumni Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS).

Pengarah Projek UPSI Outreach Mission Mc Lly Adrian Simon berkata, program berkenaan berkesan dalam memberi pendedahan mengenai aktiviti sukarelawan dalam kalangan mahasiswa.

“Pengalaman berkampung selama seminggu ini berkait rapat dengan teori dipelajari membabitkan sukarelawan seperti ‘immersion concept’ yakni mendalami rutin seharian komuniti terbabit.

“Semua aktiviti dilaksanakan di kampung berkenaan memfokuskan empat kluster yang disasarkan iaitu pendidikan, kesihatan, khidmat komuniti dan budaya.

“Semua acara disusun baik bersama penduduk kampung, kanak-kanak dan modul dilaksanakan sukarelawan itu sendiri perlu meliputi empat kluster berkenaan.

“Melihat impak daripada program berkenaan iaitu penduduk seronok dengan kehadiran rombo­ngan KEFB serta kepuasan di wajah sukarelawan itu sendiri, membuktikan program ini berjaya mencapai objektifnya,” katanya.

Majlis Pelepasan UPSI Outreach Mission disempurnakan Ketua Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Azzah Abdul Latif. Bagi seorang sukarelawan yang menyertai program itu Siti Suhaila Ibrahim, pada mulanya dilanda perasaan bimbang kerana melangkah ke negara asing, Kemboja buat julung kali tetapi debarnya beransur hilang apabila mendapat layanan sungguh mesra daripada penduduk.

“Saya bersyukur masyarakat kampung menerima kami dengan hati terbuka. Kami dijemput menghadiri kenduri tahlil dan dijamu dengan masakan tempatan seperti kerabu, lauk berasaskan daging seakan asam pedas Malaysia, ikan haruan masin dan pencuci mulut.

“Susu, santan dan nangka dihidangkan sejuk sesuai dengan cuaca panas hingga mencecah 38 darjah Celsius ketika itu. Meskipun penduduk sana hidup serba kekurangan, mereka berusaha membuatkan kami sukarelawan selesa sepanjang bersama,” katanya.

Selain berpeluang menghadiri keraian, saat bersama kanak-kanak di kampung berkenaan juga antara tidak boleh dilupakan.

Menurut Suhaila, sesi persekolah bermula petang, lalu mereka penuhi aktiviti di pagi bersama anak orang kampung.

“Kami jalankan aktiviti penjagaan kesihatan seperti cara mencuci tangan yang betul, memberus gigi dan mengetip kuku. Selain itu kami menyerahkan sumbangan berbentuk keperluan sekolah untuk kegunaan mereka.

“Kegembiraan terpancar di raut wajah anak kecil sehingga membuatkan air mata berlinangan melihat mereka teruja membelek beg, alat tulis serta pensel warna menjadi hadiah buat mereka,” katanya.

Pengalaman bersama penduduk kampung memberi pengajaran bermakna buat seorang lagi sukarelawan Alexander anak Demong. Berasal dari Sarawak, Alexander berkata, melihat kedaifan serta kurangnya fasiliti pendidikan di Kemboja membuatnya rasa bersyukur.

“Apa yang saya perhatikan pembangunan masyarakat setempat ketinggalan akibat dasar sebelum ini yang membunuh golongan cendekiawan. Justeru tanpa kumpulan cerdik pandai, negara terbabit berdepan cabaran ketinggalan dalam pembangunan serta kemajuan.

“Terkesan sekali ialah masyarakat pedalaman seperti penduduk Kampung Pray Bis di Wilayah Chnang apabila melihat kemudahan asas, seperti tiada bekalan air bersih serta sekolah di sini masih menggunakan bangunan kayu.

“Namun, mereka tidak mengeluh sebaliknya bersyukur serta berusaha memperbaiki taraf hidup. Selaku sukarelawan yang datang, kami membantu mereka untuk memperbaiki kualiti hidup termasuk dalam pendidikan.

“Sebab itu kami tidak semata-mata bergotong-royong bersama penduduk, malah mengajar anak kampung bahasa Inggeris bagi tujuan membuka mata mereka mengenai kepentingan ilmu,” katanya yang berharap dapat menyertai lebih banyak aktiviti kemasyarakatan kelak.

Penasihat KEFB merangkap pegawai pengiring Najidah Yahaya berharap program sedemikian dapat dianjurkan secara berterusan.

“Ini satu permulaan yang baik dan murni dalam mempergiat program bersama komuniti. Sebaik-baiknya ia diadakan secara berterusan dan diperluaskan di seluruh rantau ASEAN.

“Ia diharap dapat menyemai budaya tolong-menolong, simbiosis dan kerjasama dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:02 AM