BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menahan tujuh lelaki warga tempatan dalam operasi di lima negeri kerana disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka dipercayai anggota sel yang sama yang merancang untuk melancarkan serangan keganasan di beberapa lokasi strategik di seluruh negara.

Mereka ditahan di Kedah, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Bukit Aman mulai Jumaat lepas hingga hari ini.

Khalid berkata, ia susulan daripada tangkapan ke atas seorang lelaki di stesen LRT Setiawangsa di sini pada 15 Januari lalu.

"Semua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 26 hingga 50 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid berkata, operasi yang dilakukan itu menjurus kepada rampasan barangan seperti 30 butir peluru pelbagai jenis, buku jihad, bendera dan video propaganda IS.

Menurutnya, seorang daripada tujuh lelaki itu menerima arahan daripada Muhammad Wanndy Mohamed Jedi@Abu Hamzah, warga tempatan yang menyertai IS di Syria.

Seorang lagi, kata Khalid, mendapat arahan daripada pemimpin kanan Khatibah Nusantara iaitu Bahrom Naim, warga Indonesia di Syria yang turut bertanggungjawab mengarahkan anggota sel IS di Indonesia untuk melancarkan serangan di Jakarta pada 14 Januari lalu.

Dalam operasi di Johor, dua individu ditahan termasuk penolong pengurus bahagian 'housekeeping' (perkemasan) sebuah hotel di Nusajaya yang berasal dari Sabah.

Lelaki berusia 31 tahun itu turut disyaki berperanan sebagai 'amir' kepada sel berkenaan, kata Khalid.

Seorang lagi lelaki yang ditahan di Johor ialah penyelia stor kilang berusia 33 tahun.

Dua tangkapan di Kedah membabitkan seorang penjual cendol berusia 50 tahun yang disyaki bertanggungjawab mengumpul dan menyalurkan dana kepada mana-mana rakyat Malaysia yang berhasrat menyertai IS di Syria.

"Dana yang dikumpulkan itu juga akan digunakan untuk membiayai operasi serangan ganas di Malaysia," kata Khalid.

Turut ditahan di Kedah ialah lelaki berusia 26 tahun berasal dari Terengganu, pembantu kepada penjual cendol terbabit, yang merancang untuk menyertai IS di Syria.

Khalid berkata, tiga lagi lelaki yang ditahan di Selangor (Gombak), Kuala Lumpur dan Pahang berusia antara 30 hingga 33 tahun, dan masing-masing bekerja sebagai pembantu makmal, jurupasang unit Sistem Pengesan Global (GPS) dan pengawal keselamatan.

"Ketiga-tiga mereka turut terbabit dalam rancangan untuk melancarkan serangan di Malaysia," katanya.

Khalid berkata, semua ditahan mengikut Bab VIA - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 9:00 PM