Peserta mulakan kayuhan dalam program "Terengganu Century Ride 2014" yang bermula di Dataran Pantai Batu Buruk,
Peserta mulakan kayuhan dalam program "Terengganu Century Ride 2014" yang bermula di Dataran Pantai Batu Buruk,
Oleh Khairul Hamizy Ramlee.

[email protected].

Betis sudah keras dan nafas kian deras, namun kayuhan Mohamed Hussin, 62, masih lancar serta pantas mengiringi peserta yang jauh lebih muda untuk bersama-sama tiba ke garisan penamat yang hanya tinggal kira-kira 30 kilometer saja ketika itu.

Datuk kepada lapan cucu itu yang tenang melakukan kayuhan itu sempat menikmati pemandangan indah dan cuaca sejuk di sepanjang perjalanan sejauh 160 kilometer meliputi tiga daerah ia­itu Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu.

Acara kayuhan Terengganu Century Ride 2014 (TCR14) edisi kedua itu dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu serta Tourism Malaysia Terengganu de­ngan kerjasama kerajaan negeri Terengganu, Pedal Explore dan Team 1Permai.

Kayuhan yang bermula di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu baru-baru ini, itu disertai kira-kira 1,000 peserta termasuk pelumba dari Thailand dan Singapura.

Bagi warga emas yang berasal dari Kelantan itu, acara sebegitu tidak pernah ketinggalan dalam diari hidupnya kerana minat mendalam terhadap sukan berbasikal selain ia memberikan kepuasan kepada­nya.

Menurutnya, penyertaannya kali ini memberikan seribu kena­ngan kepadanya kerana dapat berinteraksi dengan pelumba muda dari pel­bagai negara selain menikmati pemandangan indah di sepanjang laluan.

Katanya, dia mengakui negeri ini mempunyai pelbagai destinasi pelancongan yang menarik seperti Air Terjun Sekayu di Hulu Terengganu dan Bulatan Batu Bersurat dan Pasar Besar Kedai Payang di Kuala Terengganu serta aneka jualan keropok lekor di laluan Marang yang sinonim de­ngan Terengganu.

"Kebanyakan pelumba yang menyertai kejohanan ini tidak mengutamakan kejuaraan, tetapi lebih kepada kepuasan membuat kayuhan sambil menikmati pemandangan indah di sepanjang laluan.

"Penduduk di sini amat mesra dan gelagat mereka memberi sokongan sepanjang laluan me­nyuntik semangat yang luar biasa kepada peserta.

"Walaupun kayuhan kami semakin laju namun pelumba sempat melambai-lambai kepada penduduk di sini untuk menunjukkan kemesraan yang terjalin antara masing-masing," katanya yang bernaung di bawah kelab Kelantan Cycling Team.

Seorang lagi pelumba, Ahmad Yusri Hassan, 36, dari Haji Yusof Cycling Club (HYCC) berkata, ramai peserta mula membuat kayuhan laju sepanjang laluan mendatar pada 20 kilometer hingga 40 kilometer terawal hingga ada di antara mereka bertembung sesama sendiri.

Bagaimanapun, katanya pelumba berkenaan hanya cedera ringan dan mampu menghabiskan laluan sepanjang 160 kilometer.

Menurutnya, kemalangan sebegitu sememangnya sudah biasa ditempuhi oleh pelumba sukan berbasikal di negara ini.

Katanya, sebelum memasuki TCR14 dia dan saudara-mara lain sudah membuat latihan kayuhan di beberapa daerah di Selangor.

"Kami perlu membuat latihan mengayuh jarak jauh secara berjadual sebelum memasuki sebarang anjuran kerana ia amat penting untuk pelumba.

"Senaman ringan juga perlu dilakukan setiap hari untuk memberi kecergasan maksimum kepada pelumba dalam membuat kayuhan jarak jauh.

"Namun, dalam sukan ini di­siplin perlu dititik beratkan kerana pelumba akan menyebabkan kemalangan kepada peserta lain sekiranya tidak berdisiplin," katanya yang berasal dari Gombak, Sela­ngor.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Domestik Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata, pe­nganjuran kejohanan berbasikal seperti TCR14 mampu menggalakkan pengaliran pelancongan domestik di dalam negara dengan kehadiran peserta secara berkeluarga.

"Sebagai contoh, apabila si ayah atau anak lelaki terbabit dengan perlumbaan basikal, ibu atau anak perempuan boleh menggunakan masa terluang dengan melawat tempat menarik seperti Taman Tamadun Islam dan Muzium Negeri atau membeli-belah di Pasar Besar Kedai Payang sekali gus menjana ekonomi penduduk setempat.

"Justeru, saya menyeru semua komuniti yang terbabit dengan industri pelancongan supaya dapat bekerjasama dengan mana-mana aktiviti riadah pelancongan sekali gus memberikan manfaat secara langsung kepada pelbagai pihak," katanya.

Pengarah Tourism Malaysia Terengganu Mohd Nasir Kushairi pula berkata, pihaknya akan melakukan penambahbaikan dengan lebih teratur pada program akan datang berdasarkan sambutan menggalakkan peserta.

"Kita menggalakkan peserta mengambil pakej berbasikal yang disediakan agensi pelancongan termasuk penginapan dan makan minum kerana ia lebih memudahkan, murah dan teratur serta ada pe­ngisian tersendiri seperti aktiviti membeli-belah dan lawatan ke tempat menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 12:26 AM