Sebahagian lori mengangkut bauksit tidak beroperasi ketika tinjauan di Felda Bukit Goh hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Sebahagian lori mengangkut bauksit tidak beroperasi ketika tinjauan di Felda Bukit Goh hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Oleh Nazirul Roselan


Bentong: Kerajaan negeri akan memperkenalkan peraturan baru perlombongan bauksit di negeri ini bagi mengatasi isu pencemaran bahan mineral itu pada masa akan datang.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, peraturan baru yang lebih berkesan dan tegas itu wajib dipatuhi semua pihak jika mereka mahu terus terbabit dalam perlombongan bauksit.

"Kita berharap semua pihak bersabar menunggu peraturan baru itu yang akan membabitkan banyak perkara termasuk lokasi perlombongan, pengangkutan dan pelabuhan.

"Kita akan berbincang dulu dengan agensi terbabit sebelum peraturan lengkap dikeluarkan, sementara itu, kita kena bersabar kerana perbincangan untuk jangka masa panjang dan tidak boleh diselesaikan dalam masa sehari," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah di Dewan Majlis Perbandaran Bentong, di sini, hari ini.

Adnan berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pengurusan pelabuhan dalam mewujudkan peraturan baru itu.

Beliau berharap peraturan itu bukan saja mampu menyelesaikan masalah yang timbul akibat aktiviti perlombongan berkenaan tetapi turut memberi faedah kepada semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 4:13 PM