ZULKIFLI melepaskan peserta.
ZULKIFLI melepaskan peserta.
Oleh Murniyantie Musa


Cuaca tidak menentu, keadaan jalan berliku diselaputi lumpur serta laluan bukit yang mencabar bukanlah halangan bagi penggemar sukan basikal lasak untuk mencari keseronokan dan mendapat kepuasan sebenar.

Bagi mereka yang gemar menguji ketangkasan fizikal dan mental, aktiviti ini menjadi pilihan dan tidak menghairankan apabila sukan ini semakin mendapat perhatian.

Menyedari hakikat itu, buat julung kalinya Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Ulu Kinta, Perak menganjurkan Pertandingan Berbasikal Piala Komander Briged Utara 2015 yang menarik perhatian 62 peserta terdiri daripada pegawai dan ang­gota Polis Diraja Malaysia (PDRM) PGA Ulu Kinta untuk berentap di laluan sukar sejauh 20 kilometer.

Peserta begitu teruja untuk menamatkan kayuhan basikal lasak itu merentasi pelbagai halangan kawasan Bukit Botak Ulu Kinta, jalan berliku dan berlumpur di kawasan perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Makmur dan berakhir di Padang Kawad PGA Ulu Kinta.

Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Datuk Zulkifli Alias berkata, sukan basikal lasak kini menjadi trend dan sesuai untuk semua golongan masyarakat.

“Sukan ini mendapat permintaan tinggi daripada kalangan anggota PGA Briged Utara Ulu Kinta yang mahukan aktiviti berbasikal lasak ini dijadikan salah satu sukan bertanding dalam Piala Komander Briged Utara selain futsal, boling dan golf.

“Tidak dinafikan, keadaan bentuk muka bumi dan persekitaran di Ulu Kinta sesuai buat mereka yang menggemari berbasikal lasak Mountain Bike ini,” katanya.

Menurut Zulkifli, pembabitan pegawai dan anggota PGA Briged Utara Ulu Kinta yang terdiri daripada empat batalion dalam menjayakan aktiviti sukan lasak ini dapat mengeratkan silaturahim sesama sendiri seterusnya membentuk semangat kerjasama dalam pasukan.

“Tambahan pula, sebagai anggota PDRM, mereka perlu sentiasa cergas fizikal dan mental sebagai persediaan menghadapi sebarang tugas mencabar. Jadi, sukan basikal lasak ini mampu menguji stamina dan kesabaran mereka ini,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.

Sementara itu, juara Pertandingan Berbasikal Piala Komander Briged Utara, Koperal Halil Zambri, 37, berkata, dia tidak pernah ketinggalan dalam pelbagai program berbasikal kerana banyak kemudahan disediakan kerajaan dan organisasi luar.

“Hadiah bukan faktor utama saya menyertainya, sebaliknya mengutamakan kepuasan menyahut cabaran diri sendiri, di samping untuk kesihatan,” katanya yang berjaya menamatkan kayuhan dengan masa 50 minit 17 saat.

Tambahnya, acara berbasikal ini memberikan cabaran hebat kepadanya kerana laluan amat menguji ketangkasan dan kemahiran berbasikal untuk melepasi setiap halangan.

Sementara itu, peserta tertua, Koperal Termizi Mohd Sharifuddin, 58, membuktikan semangat dan kud­ratnya masih berbisa apabila memperoleh naib juara dengan catatan masa 55 minit.

“Usia hanyalah angka, walaupun laluan berbukit setinggi 300 meter itu mencabar kecergasan saya, namun semangat mengiringi kayuhan saya sehingga ke garisan penamat,” katanya yang akan bersara pada tahun ini.

Kejohanan ini menawarkan wang tunai RM500 beserta piala kemenangan dan hamper, manakala untuk empat peserta terbaik masing-masing menerima piala kemenangan dan hamper.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:00 AM