SABOURIN (dua kanan) bertukar dokumen dengan Chung.
SABOURIN (dua kanan) bertukar dokumen dengan Chung.

Kuala Lumpur: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) menandatangani perjanjian bersama Cagamas Bhd (Cagamas) sebagai inisiatif daripada rancangan luar jangkanya bagi memastikan kesediaan operasi yang dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jean Pierre Sabourin berkata, kerjasama itu salah satu daripada urus niaga pembiayaan alternatif bagi memastikan PIDM mempunyai akses kepada dana yang tersedia sekiranya diperlukan.

Beliau berkata, dana berkenaan akan diperoleh menerusi terbitan sekuriti hutang yang dilakukan Cagamas kepada pasaran modal.

“Kerjasama ini melengkapkan usaha kita memastikan PIDM sentiasa bersedia melaksanakan intervensi atau resolusi segera terhadap institusi ahli yang bermasalah bagi mengekalkan kestabilan sistem kewangan.

“Selain itu, kesediaan dan keberkesanan operasi juga dianggap aspek kritikal untuk mencapai matlamat di samping mengukuhkan perlindungan pengguna kewangan,” katanya.

Di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta PIDM) 2011, PIDM adalah pihak berkuasa yang menguruskan pelaksanaan resolusi di negara ini bagi bank ahli dan ahli penginsurans.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Chung Chee Leong berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama bersama PIDM dalam meningkatkan pelan kesediaan operasinya, selain mempertingkatkan sumbangan PIDM dan Cagamas kepada sektor kewangan.

“Cagamas adalah perbadanan gadai janji sekunder terawal ditubuhkan di rantau ini. Kami kini giat meningkatkan peranan kami menerusi inisiatif baru seperti kerjasama dengan PIDM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 6:00 AM