Sultan Ibrahim mencemar duli bersantap di Restoran Ansari, Muar, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Sultan Ibrahim mencemar duli bersantap di Restoran Ansari, Muar, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein dan Nurul Huda Kosnon


Muar: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli bersantap di Restoran Ansari, di sini, pagi tadi.

Tanpa sebarang protokol, baginda masuk ke restoran yang dikatakan menjadi kedai makan kegemarannya, lalu memesan roti canai.

Gambar baginda di restoran itu turut dimuat naik di laman rasmi Facebook (FB) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 8 pagi tadi.

Sifat baginda yang berjiwa rakyat itu mendapat reaksi positif dan pujian daripada orang ramai dalam ruangan komen di FB berkenaan.

Antara komen diterima adalah daripada pemilik akaun FB menggunakan nama Nasir Abd yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Sultan Ibrahim serta bersyukur kerana mempunyai sultan yang sentiasa prihatin terhadap rakyat.

"Semoga Allah SWT sentiasa memelihara sultan. Anugerahkanlah baginda kehormatan, kesihatan dan kesejahteraan. Amin ya rabbal alamin.

"Bersyukur kami rakyat dan bangsa Johor kepada Allah SWT kerana mempunyai sultan yang sentiasa dekat di hati kami. Daulat tuanku," katanya.

Norazila Fauzi pula terharu dengan keperibadian Sultan Johor biarpun tidak pernah berpeluang berjumpa secara dekat.

"Rasa terharu sangat apabila melihat setiap perbuatan yang sultan lakukan, cara pergaulan, perwatakan tuanku, kasihnya tuanku kepada rakyat dan anak-anak tuanku, kasih sayang yang tuanku limpahkan terutama tangisan tuanku ketika kehilangan anakanda, Almarhum Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

"Alangkah bahagianya jika saya dapat memiliki kasih sayang daripada seorang bapa seperti tuanku. Semoga Tuhan sentiasa merahmati tuanku dan keluarga di dunia dan akhirat," katanya.

Terry Murray pula menyifatkan Sultan Johor berjiwa rakyat apabila mengamalkan sifat sederhana dan sentiasa dekat dengan rakyat.

"Tuanku memang berjiwa rakyat. Baginda contoh seorang sultan yang mengamalkan sifat keserderhanaan dan mengambil berat mengenai kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum. Terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 8:18 PM