FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Polis Johor merampas 6,924 botol cecair vape selain 190 unit peranti dan aksesori yang semuanya bernilai RM380,385 dalam operasi bersepadu di tiga premis sekitar bandar raya Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata dalam operasi kira-kira 4 petang, Selasa lalu, empat individu yang juga pemilik dan penjaga premis berusia 23 hingga 70 tahun turut ditahan.

"Kita serbu tiga premis disyaki menjalankan perniagaan menjual cecair vape yang dipercayai mengandungi racun atau nikotin mengikut Akta Racun 1952.

"Hasil operasi turut mendapati mereka melakukan kesalahan lain seperti tidak meletakkan tanda harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, menjalankan perniagaan dan mempamer iklan tanpa lesen serta gagal mendaftar alamat cawangan, tiada papan tanda perniagaan dan tidak mempamerkan sijil pendaftaran Akta Pendaftaran Perniagaan 1956," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (Cawangan Farmasi), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 12:14 PM